Irsyadee Ft Hafiz Hamidun - Taubat Seorang Hamba Mp3
Musicaddict.com

Wednesday, December 15, 2010

Bersabarlah adik-adikku yang sedang kecewa...

surat tawaran universiti sudah mula menemui adik-adik yang berhajat untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Buat yang berjaya di ucapkan tahniah dan buatlah dengan lebih baik pada masa akan datang. Jangan sia-siakan peluang yang diberikan kerana di luar ini begitu ramai yang kecewa kerana tidak memperolehi kesempatan seperti mana yang adik perolehi..
Untuk adik-adik yang kurang berjaya, jangan putus asa. Tuhan itu lebih mengetahui apa hikmah yang tersembunyi buat kita di kemudian hari. Dan inilah juga masa yang paling sesuai untuk adik bertafakur sekejap untuk mencari kesilapan agar boleh di perbaiki pada masa akan datang. Kajilah balik kesilapan yang pernah kita lakukan, mungkin kita tidak berjaya kerana dosa kita pada tuhan, ibu bapa atau orang sekeliling. Apa yang penting, ubahlah diri....jangan asik bertanya kenapa aku yang di pilih untuk gagal sedangkan orang lain lebih teruk dariku?...kerana jawapannya tetap satu iaitu Allah lebih mengetahui, dan Allah juga memberi rezeki dan menguji pada yang dikehendaki dan ingat juga, usaha yang kita lakukan sebelum ini, barangkali pada kita tidak setimpal dengan yang kita perolehi hari ini seperti yang kita harapkan, kerana kita hanya menilai rezeki yang tuhan bagi bedasarkan apa yang kita mahu sedangkan Allah memberi rezeki tak putus-putus malahan berlimpahan dari apa yang diharapkan dalam bentuk yang lebih baik...
Semoga adik-adik tenang menghadapi musibah dan jangan berputus asa. Allah sentiasa bersama orang yang sabar...

Tuesday, November 9, 2010

Sehari sepotong Ayat

Allah S.W.T berfirman: Katakanlah (Wahai Muhammad):
"Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Furqan:9)

Belajar Berbudi Bahasa

Manusia tidak boleh hidup sendirian tanpa pertolongan manusia yang lain. Petani memerlukan nelayan untuk makan ikan, nelayan pun perlukan petani untuk makan sayuran. Begitu juga jika setinggi manapun jawatan kita, jika kita pegawai kita memerlukan kerani untuk membantu kerja kita. Siapa pun kita, kita tetap memerlukan insan lain dalam hidup kita. Duit yang melimpah bukan satu tanda kita boleh melakukan apa sahaja.
Kesalnya, bila ada lagi segelintir manusia yang tidak tahu menghargai pertolongan orang lain, tidak tahu menghargai sumbangan orang lain dalam kehidupan dek kerana merasakan kedudukan yang lebih tinggi.
Sayangnya, manusia yang tidak tahu menghargai ini terlepas banyak perkara dan nikmat yang amat indah yang tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Jika kita tahu menghargai orang lain, penghargaan itu sebenarnya akan berbalik kepada kita. Jika tahu berbudi bahasa dengan orang, orang lain akan membantu kerja kita bukan setakat membuat kerja kerana tuntutan tanggungjawab tapi kerana keikhlasan dan hati yang riang.
Gunalah perkataan "Mintak Tolong.." dan "Maaf.." dalam kehidupan seharian agar kelak orang lebih senang untuk bekerjasama dengan kita, dan semua itu menyumbang pada rezeki kita juga. Tak semena-mena orang belanja makan atau dapat cenderahati daripada orang yang sentiasa mengingati kita. Tak rugikan berbudi bahasa ni?...

Thursday, November 4, 2010

Sehari sepotong Ayat


Rasullullah S.A.W bersabda:" Tuntutlah dari ilmu apa-apa yang kamu kehendaki, Sesungguhnya ilmu yang kamu dapati itu tidak akan manfaatnya di sisi Allah, jika kamu tidak mengamalkan apa yang telah kamu pelajari" ( Hadis Riwayat Ibn Adi)

Antara Matlamat dan Impian


Semua insan melalui liku hidup yang berbeza namun setiap daripada kita mengimpikan sesuatu yang sama, hidup senang, banyak wang ringgit, kereta serta rumah besar dalam erti kata lain adalah satu impian yang indah. Namun, dalam berimpian kita terlupa untuk memberitahu diri kita tentang perlunya matlamat.
Pernahkah anda terfikir, pada usia berapakah anda mahu berkhawin, berkereta besar, naik pangkat?...kebiasaan kita hanya akan mengungkapkan, "satu hari nanti aku pasti berkereta besar" atau " tak tahulah, mungkin 2 atau 3 tahun lagi kot"...Kenapa tidak di spesifikkan lagi kepada, "di usia 35 aku sudah mempunyai rumah besar", atau "pada tarikh11.10.2010 akan menjadi tarikh penting dalam hidup aku".
Perlunya perancangan dalam hidup agar jarak matlamat yang kita sasarkan tidak lari begitu jauh. Samalah macam menetapkan menu apa yang ingin dimakan berbanding dengan makan apa yang ada. Jadi, usaha akan seiring kerana kita akan berasa bertanggungjawab sekaligus matlamat mendesak kita untuk berjuang kearah apa yang di impikan. Sebagai contoh, sekiranya anda memandu dan anda tahu jarak ke arah tempat yang akan anda tuju, anda pasti dapat menganggar bila akan sampai dan cuba untuk sampai pada tepat masanya. Cuba bayangkan jika anda tidak tahu dimana letaknya Cameron Highland dan anda memandu tanpa arah, untung sabut anda jumpa tempat di tuju, bagaimana jika untung batu?Dan berapa pula masa yang akan di ambil?
Pendek kata, matlamat membuat kita lebih besedia menghadapi sesuatu, lebih maju daripada orang lain. Jadi, jika ada aral di tengah jalan pun, tidaklah mengambil masa yang panjang kerana anda telah bersedia. Dan lagi, Jangan cipta seribu satu alasan dalam menuju matlamat, sebaliknya carilah satu atau lebih jawapan. Kerana, tiada orang yang menuju kejayaan tanpa susah atau dengan menadah tangan menunggu pertolongan tiba. Namun setelah usaha dan berdoa, segalanya bukan kuasa kita. Tapi tuhan juga tidak suka kita berputus asa. Fikirkan lah jalan lain untuk mencapai matlamat kita. Fikirkan dan fikirkan sehingga kita berjaya. Kerana yang berjaya pun kita, dan yang susah pun kita....So, sapalah lagi yang mahu membantu diri kita melainkan kita sendiri.

Monday, November 1, 2010

Pesanan buat Adik-Adik/Siswa-Siswi

Musim peperiksaan bermula dikalangan pelajar universiti juga untuk pelajar-pelajar yang bakal berhadapan dengan STPM. Melihatkan kesungguhan adik-adik ku berjuang dalam pelajaran mereka membuahkan kerinduan yang amat mendalam pada kehidupan kampus. Kebiasaan musim begini malam menjadi siang di kampus kerana siswa dan siswi menggunakan setiap penjuru yang ada untuk mencari keselesaan dalam menuntut ilmu.. Pun begitu, aku bukanlah antara graduan yang tersohor untuk aku maklumkan mengenai kejayaanku. Namun aku bersyukur berkat doa ibu bapa, keluarga dan diri sendiri serta usaha yang tak pernah jemu akhirnya Ijazah Kejuruteraan itu miliku. Buat adik-adik, aku menempuhi zaman kampus dengan air mata yang banyak mengalir. setiap semesta pastinya ada tangisan bila melihat keputusan yang tidak seberapa bebanding dengan usaha. Cemburu yang amat sangat bila melihat orang yang lebih bijak yang hanya mentelaah seminit dua ku andaikan tapi masih mampu mendapat kputusan cemerlang... Buat adik-adik, jangan berputus asa. Rezeki setiap manusia itu berbeza. namun tuhan tidak pernah kejam pada hambanya. Di peruntukkan kita ini, dan yang itu untuk yang lain. Namun jangan sekali kecewa dan menyalahkan suratan takdir. Mungkin masa kita akan sampai bila bekerjaya nanti..Hanya Allah yang tahu. Adakalanya ilmu itu tidak datang dengan sebab dosa kita pada Tuhan, Ibubapa dan orang sekeliling. Adakalanya dengan sebab hati yang tidak ikhlas semasa menuntutnya. Ada juga dengan sebab tuhan mahu memberikan sesuatu yang lain dari yang lain untuk kita. Setiap apa yang berlaku, sentiasa yakin dengan pencipta dan berdoa. Mungkin adik-adik hanya nampak susahnya hari ini tapi mungkin hari yang lain adik-adik nampak kesenangannya. Percayalah, bila kita tetap berusaha dan redha, akan datang adik-adik akan nampak perjalanan hidup setelah itu lebih tersusun. Rezeki sentiasa ada untuk kita. Pun begitu ada setengah-setengah mereka yang cemerlang dalam pelajaran, tak semestinya cemerlang dalam hidup. Apa yang pastinya, hidup ini mesti ada perancangan, target dan usaha bersama doa untuk mendapatkannya. Yang lainnya bukan kuasa kita untuk menentukan. Ingat rukun iman...percaya pada Qada' dan Qadar.... Semoga, usaha yang adik-adik lakukan pada hari ini akan membawa kejayaan bukan hanya di dunia, tapi di akhirat.. InsyaAllah.
GOOD LUCK

Sehari sepotong Ayat


Allah S.W.T berfirman:" Wahai bani Adam (manusia), Aku ciptakan segala sesuatu kerana kau, dan Aku ciptakan kau keranaKu, maka janganlah kau menyibukkan dirimu dengan sesuatu yang dianya buat kau, jauh dari Tuhan yang kau adalah milikNya". (Hadis Qudsi)

Motivasi Untuk Graduan (siri 2)

Bekas guru jual serunding daging jadi jutawan

Oleh Norizan Abdul Muhid


KUALA LUMPUR 8 Mei - Setelah lebih 32 tahun terlibat dalam perniagaan, bekas guru, Nafsiah Yeop Abdullah tidak menyangka akhirnya bergelar jutawan dengan hanya menjual serunding daging.

Bayangkan dalam usia 67 tahun, dunia perniagaan yang diceburinya sejak muda, memberikannya pulangan lumayan sebanyak RM2.5 juta setahun.

Satu ketika dulu, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi kaya, lebih-lebih lagi apabila cubaan pertama menjual daging ayam di pasar tani tidak mendapat sambutan.

Bagaimanapun, wanita gigih yang mempunyai empat anak dan 30 cucu itu tidak mudah berputus asa.

``Sebelum menjual serunding, saya menjual daging ayam tetapi perniagaan tidak mendapat sambutan dan ayam yang tidak terjual terpaksa dibuang.

``Pada waktu itulah, saya mendapat idea membuat serunding daripada daging ayam yang tidak laku dan menjualnya terus ke pasar tani. Syukur jualan serunding saya semakin laris,'' katanya.

Nafsiah adalah antara 39 tokoh Melayu yang terpilih menerima `Anugerah Melayu Cemerlang' sempena Ulang Tahun Ke-60 UMNO yang akan disambut pada 11 Mei ini.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Majlis Tertinggu UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mereka dipilih berdasarkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang pendidikan, industri tanaman dan penternakan serta sukan.

Selain Nafsiah, pemilik Ramly Burger, Ramly Mokni dan penternak lembu kambing, Mohd. Nazri Md. Hassan turut terpilih menerima anugerah tersebut.

Ramly, 50, meraih pendapatan sehingga RM200 juta setahun dengan menjual, membekal dan memasarkan sendiri produk makanan burger dan nuget ayam serta daging.

Beliau juga membuktikan tanpa ijazah atau diploma, dia mampu meraih pendapatan kira-kira RM1 juta sebulan.

Apa yang penting, katanya, mereka yang ingin berjaya dalam perniagaan harus mempunyai minat mendalam terhadap bidang itu.

``Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membuat burger di rumah ketika berusia 17 tahun lagi.

``Pelbagai masalah dihadapi namun saya tidak pernah putus asa dan akhirnya selepas lebih 20 tahun, perniagaan saya berkembang dan kini menguasai pasaran tempatan,'' katanya.

Nazri pula berkata, beliau terpaksa bekerja keras untuk berjaya mencapai kehidupan yang dikecapinya hari ini.

Beliau meraih pendapatan sehingga RM6 juta setahun dan mengeluarkan 3,000 ternakan lembu serta kambing.

Sunday, October 31, 2010

Sehari sepotong Ayat


Allah S.W.T berfirman:
"Setiap kebajikan anak Adam diganda menjadi sepuluh, dan Aku menambah lagi, manakala kejahatannya tetap satu dan Aku mengampuninya"
(HR Abu Nu'aim)

Motivasi Untuk Graduan (siri 1)

Sedang aku mencari-cari nama Tokoh Usahawan Melayu, terjumpa aku satu forum yang menyiarkan artikel ini. Begitu bersemangat sekali setelah aku membacanya. (cubalah tengok di alamat ni mforum.cari.com.my/archiver/?tid-414849.html . Namun, amat dikesali aku tak tau siapa yang empunya forum tersebut untuk aku letak namanya, mungkin namanya cakna kot..anyway thank you kepada penyiarnya. Ada banyak lagi cerita usahawan melayu berjaya...Mari kita berkongsi.

Nasihat lulusan SPM gred 3 kepada graduan

Saudara Pengarang,

SAYA mohon maaf. Tulisan ini bukan untuk membangga diri, cuma untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak kita.Adik-adik abang yang masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi atau pun sudah memiliki ijazah tetapi masih menganggur mungkin adik-adik termasuk dalam golongan 50,000 graduan tanpa pekerjaan. Di sini abang ingin berkongsi sedikit pengalaman diri abang.


Abang kini berusia 41 tahun, berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)gred 3 tahun 1980. Ibu bapa abang bekerja di sawah. Mereka meninggal dunia ketika abang berusia 19 tahun dan tidak juga meninggalkan harta kecuali anak-anak yang ramai.

Pada waktu itu SPM gred 3 `laku' juga. Ramai kawan-kawan abang yang mendapat pekerjaan seperti pembantu makmal, posmen dan ada yang memasuki maktab perguruan.

Nasib abang pula sama seperti nasib adik-adik, memohon pelbagai jawatan tapi gagal. Waktu dulu jangankan nak dapat surat sokongan wakil rakyat, nak dapatkan surat ketua kampung pun susah. Oleh itu soal pilih kasih ini sudah wujud sejak dulu, bukan hanya sekarang.

Oleh kerana abang anak sulung, terpaksalah mencari rezeki untuk keluarga di samping adik-beradik. Abang bermula dengan menjaja ais krim di keliling kampung dan di tempat kenduri kahwin.

Selepas beberapa tahun menjaja ais krim, abang dapat pula peluang Berniaga pakaian di pasar malam. Bermula dengan menggunakan motosikal buruk, kemudian kereta buruk, selepas itu van baru. Kini abang berjaya menjadipengedar pakaian kepada peniaga-peniaga lain.

Di samping itu abang juga menjalankan perniagaan kelapa untuk diedarkan kepada peniaga-peniaga runcit. Hasil keuntungan kedua-dua perniagaan ini akhirnya abang berjaya membeli tanah seluas 12 hektar (30 ekar) dan ditanam dengan kelapa sawit.

Adik-adik, di sini abang ingin nyatakan pendapatan bulanan abang sekarang. Pendapatan utama abang adalah hasil jualan kelapa 3,000 biji sehari x 20 sen untung setiap biji = RM600 sehari x 30 hari = RM18,000 sebulan.

Pendapatan kedua abang adalah hasil kelapa sawit. Dengan harga sekarang abang mampu mencapai pendapatan RM10,000 RM12,000 sebulan. Akhirnya pendapatan yang ketiga hasil jualan pakaian antara RM6,000 RM8,000 sebulan.

Jika dicampur semua pendapatan abang, alhamdulillah pada setiap bulan pendapatan bersih abang antara RM24,000 RM28,000 selepas ditolak gaji lima orang pekerja tetap dan pekerja sambilan.

Adik-adik, banyak lagi usaha yang abang lakukan, seperti penanaman nanas Eropah, seluas lima ekar keuntungannya antara RM135,000 RM170,000 semusim. Tempohnya hanya 10 hingga 12 bulan.

Begitulah adik-beradik abang yang lain, walaupun bersekolah setakat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan SPM. Mereka juga mempunyai perniagaan sendiri. Purata pendapatan bulanan mereka melebihi RM30,000.

Walaupun mereka buta komputer dan bisu bahasa Inggeris, tiap-tiap tahun mereka melancong ke luar negara. Abang dan adik-beradik yang lain mampu tinggal di rumah besar dan berkereta mewah malahan isteri kami juga tidak bekerja.

Adik-adik abang yang dikasihi, inilah rahsia perniagaan yang tidak ramai anak-anak Melayu tahu. Oleh itu nasihat abang tak usahlah adik-adik bermati-matian merebut peluang pekerjaan makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta yang hanya menawarkan RM2,000 RM3,000 sebulan.

Tanam cita-cita dan kuatkan azam untuk dapatkan pendapatan RM60,000 RM70,000 sebulan. Jika di universiti adik-adik mempunyai idea yang banyak, teori yang banyak, tenaga muda yang kuat, tetapi kenapa apabila adik-adik berada dalam masyarakat, tiba-tiba menjadi letih, lesu dan semuanya minta disuapkan.

Ciptalah kerja sendiri, seperti anak-anak bukan Melayu, rebutlah Peluang perniagaan yang banyak dalam bidang pengangkutan, makanan, ternakan,pertanian, pelancongan dan lain-lain.

Nasihat abang, jika adik-adik bimbang untuk melibatkan diri dalam perniagaan secara perseorangan, buatlah secara kumpulan yang melibatkan empat atau lima orang. Peringkat permulaan buat secara kecilan, tetapi jualan hendaklah secara tunai.

Jangan fikirkan soal kelulusan. Jika ada kelulusan bidang elektrik, apa salahnya menceburi bidang pertanian. Ingatlah pesanan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk hidup berjaya orang-orang Melayu mesti berniaga. - ABANG
BERJAYA, Teluk Intan, Perak.

Friday, October 29, 2010

Sehari sepotong Ayat


" Yang paling dikasihi Allah diantara kamu ialah: Mereka yang baik akhlak (tingkah laku), yang merendahkan sayapnya (rendah diri), yang suka dengan orang dan disukai orang. Dan yang paling dimarahi Allah, ialah: Mereka yang pergi membawa fitnah, yang mencerai beraikan di antara sesama saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya"
(Hadis Rasullullah S.A.W diriwayatkan olehAbu Hurairah R.A)

Recurrent Shoulder Dislocation

Hampir seminggu aku mula bergiat aktif dalam sukan badminton walaupun dalam keadaan kerja yang cukup berlambak. Tak apalah, Sukan boleh menguatkan dan menyihatkan badan. Namun petang tadi berlaku kecederaan akibat terlalu 'profesional' dalam sukan badminton. Masuk ni dah 5 kali aku berhadapan dengan kecederaan terlepas tulang bahu ( Recurrent Shoulder Dislocation). So, aku cari artikal mengenainya untuk dikongsikan pada mereka yang tidak tahu mengenainya.

(Artikel ini dipetik dari Utusan Malaysia. Di tulis oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH)


Menurut Pakar Ortopedik dan Pembedahan Sukan dari Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Khaizatul Ezam Abu Bakar, bahu yang sering terlepas atau dikenali sebagai recurrent shoulder dislocation adalah komplikasi yang sering berlaku selepas dislokasi bahu (sendi bahu terkeluar selepas berlakunya kecederaan).

“Dislokasi bahu boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur. Ia selalunya terjadi berikutan trauma atau jatuh dan boleh menjadi sakit.

Dislokasi bahu yang tidak dirawat dengan sempurna boleh menyebabkan ketidakstabilan pada sendi tersebut menyebabkannya sering tercabut atau dislokasi berulang-ulang.

Keadaan ini dikenal pasti sebagai ketidakstabilan bahu. Bila ini berlaku, pesakit mempunyai kesukaran untuk bermain atau melakukan aktiviti berat menggunakan bahu tersebut,” ujarnya.

Dislokasi boleh berlaku tanpa sebarang trauma dan spontan selepas melakukan pergerakan abduksi dan pusingan luaran (external rotation) pada bahu.

Pesakit dinasihatkan mengelak kedudukan pergerakan tersebut bagi mencegah dislokasi daripada berulang.

Tambah Dr. Ezam, ketidakstabilan sendi bahu atau sendi bahu yang longgar berlaku dalam dua keadaan iaitu traumatik dan atraumatik. Traumatik berlaku apabila kecederaan serius pada struktur sokongan sendi bahu menyebabkan sendi tersebut mudah tercabut dan dislokasi berlaku secara berulang-ulang.

Keadaan ini berlaku lazimnya pada golongan muda yang aktif bersukan. Pesakit yang lebih muda dan lebih aktif ketika berlakunya dislokasi pertama lebih berisiko untuk mendapat ketidakstabilan bahu.

Sementara itu, autraumatik berlaku pada individu yang memiliki struktur sokongan sendi yang longgar sama ada secara genetik atau keturunan.

Bukan sahaja sendi bahu individu tersebut longgar malahan turut melibatkan sendi-

sendi lain. Dislokasi yang berlaku selalunya tidak sakit dan individu tersebut mudah untuk memasukkan sendi tersebut ke keadaan asal.

“Ketidakstabilan sendi bahu yang berlaku disebabkan oleh trauma bermula apabila dislokasi sendi bahu yang pertama menyebabkan kecederaan pada struktur ligamen sokongan pada sendi tersebut,” ujarnya.

Dr. Ezam menjelaskan, sendi bahu terbentuk daripada artrikulasi pangkal tulang humerus dengan bahagian glenoid tulang skapula. Glenoid atau soket sendi bahu mempunyai permukaan yang rata dan ia dikelilingi oleh labrum (mangkuk rawan) yang turut menyelaputi tulang humerus,” jelasnya. Apabila dislokasi berlaku, labrum terkoyak daripada glenoid menyebabkan sokongan dari ligamen hilang. Koyakan tersebut menyebabkan labrum menjadi rata dan tidak dapat mengadang tulang humerus terkeluar daripada soket glenoid.

Ini menyebabkan ketidakstabilan yang serius pada sendi tersebut dan dislokasi mudah berlaku.

Justeru itu, tulang bahu yang terkehel atau teralih kedudukannya perlu dirawat segera.

“Bagi kes-kes yang lebih kompleks, pesakit perlu dibawa menjalani beberapa prosedur terlebih dahulu. Ini untuk memastikan sama ada terdapat komplikasi lain seperti keretakan tulang, kecederaan tisu lembut seperti ligamen yang terkoyak, mahupun kemungkinan urat saraf yang tertekan,” katanya.

Untuk itu, imbasan sinar-X atau teknik MRI boleh digunakan untuk mengesan kecederaan pada labrum (tulang rawan) atau mana-mana struktur yang menyambung antara sendi tulang.

Memandangkan bahagian sendi tersebut akan membengkak dan bertambah sakit, maka lebih baik rawatan tersebut dipercepatkan. Sejurus tulang tangan dimasukkan semula ke dalam soket bahu, sebahagian daripada rasa sakit itu akan hilang. Bagi kes yang berulang, klinik atau hospital boleh menawarkan beberapa jenis rawatan. Antaranya adalah pemulihan Bankart iaitu pembedahan membaik pulih kecacatan dalam kaviti glenoid. Pembedahan baik pulih itu boleh disertakan dengan prosedur atroskopik. Ia mengenal pasti, memantau, dan mendiagnosis kecederaan sendi menggunakan instrumen optik serat untuk melihat terus ke dalam bahagian yang cedera.

Selepas menjalani rawatan mengikut keperluan, pesakit disarankan berehat daripada melakukan kerja-kerja berat khususnya yang melibatkan pergerakan tangan.

Selain pembedahan yang disarankan pada pesakit yang mempunyai ketidakstabilan bahu yang tidak dapat dikawal oleh terapi fizikal dan pengubahsuaian aktiviti, pesakit juga akan menjalani rawatan bukan pembedahan.

Ia melibatkan terapi fizikal bertujuan menguatkan otot sekitar sendi bahu dan ini akan meningkatkan kestabilan sendi tersebut.

Tuesday, October 26, 2010

Sehari sepotong Ayat


"Barangsiapa yang hari ini tidak berbeza dengan hari semalam, maka dia adalah orang yang tertipu, dan barangsiapa yang hari ini lebih buruk dari semalam, maka dia adalah orang yang terkutuk" (Madah Khalifah Umar bin Abdul Aziz)

Bersenam Untuk Kesihatan


Info ini diambil daripada Info Sihat KKM. Mari kita berkongsi:

1. Mulakan dengan senaman untuk memanaskan badan, seperti:

· Berlari anak atau joging selama 5 hingga 10 minit

· Berenang 2 hingga 3 pusingan mengikut cara keselesaan masing-masing

· Berbasikal untuk 5 hingga 10 minit dengan kelajuan rendah

Semua ini bergantung kepada aktiviti yang dipilih.Walaubagaimanapun lakukan aktiviti beberapa minit pertama dengan selesa.

2. Ini patut diikuti dengan regangan dengan menggunakan otot tertentu

3. Pada bahagian ketiga lakukan aktiviti rutin senaman aerobik selama 30 hingga 40Minit

4. Selepas peringkat aerobik, lakukan aktiviti pergerakkan perlahan untuk menurunkan denyutan jantung

5. Sesetengah senaman latihan kekuatan dilakukan untuk meningkatkan kekuatan otot

6. Pusingan ini ditamatkan dengan senaman regangan untuk semua kumpulan otot-otot utama

Untuk mencapai tahap senaman yang unggul, perlu diingatkan prinsip FITT (kecergasan) dan senaman yang berkala perlu dilakukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.

Apakah itu prinsip FITT (kecergasan)?

F - Frequency ialah kekerapan melakukan senaman.

I - Intensity ialah kekuatan sesuatu senaman ditentukan dengan pengiraan kadar denyutan jantung anda.

T - Time ialah peruntukan masa untuk senaman aerobik (tidak kurang 20 minit untuk lebih berkesan).

T - Type ialah jenis senaman yang penting. Beberapa jenis aerobik yang berbeza adalah digalakkan.

Monday, October 25, 2010

Sehari sepotong Ayat

Rasullullah S.A.W bersabda:
" Sesiapa yang berjaya menahan lidahnya demi kehormatan kaum muslimin, maka Allah S.W.T memaafkan kesalahan-kesalahannya pada hari kiamat dan siapa-siapa yang berjaya menahan marahnya, Maka Allah S.W.T akan menghindarkan dari kemurkaanNya pada hari kiamat"

Menangani Stress

Sebenarnya banyak cara untuk menangani stress kerana punca stress ini daripada macam-macam benda. Di sini ada sedikit info untuk dikongsikan bersama;



1. Senyum
Adakalanya sukar untuk kita mengelak benda-benda atau perkara yang boleh membuat kita stress. Perangai manusia, pertanyaan manusia, kerja yang melambak , bising dan macam-macam lagi. Apabila kita berada dalam situasi yang kita sendiri tidak boleh mengelaknya. Senyuman adalah perkara yang paling baik dan mujarab dalam meredakan stress. Kalau boleh, fikirkan benda yang lucu untuk kita ketawa sekejap.

2.Ambil wuduk/ Berzikir/ Sembahyang
Seperti yang kita tahu, dengan mengingati Allah, hati akan tenang. Mohonlah pada Allah. Dan lagi syaitan memang sentiasa mengambil peluang menanti kita dalam keadaan berkecamuk. Bila jadi begitu mudahlah untuk kita marah dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak baik. Selain daripada mengingati Allah, dengan mengambil wuduk juga membuatkan badan kita segar apabila terkena air sembahyang.

3. Diam dan bersendiri seketika
Adakalanya, bila marah dan tertekan, ambillah ruang untuk bersendiri. Seharusnya, duduklah sebentar di kawasan yang luas dan tenang. Bila berada di tempat yang lapang, fikiran juga bertambah lapang. Barulah boleh membuat perkara yang betul.

4.Beri ruang pada diri untuk meluahkan
Biasanya stress berpunca daripada masalah yang tak dapat di selesaikan. Luahkan masalah sama ada dengan bercerita kepada teman, atau menzahirkan dalam bentuk lukisan dan kraftangan atau coretan. Tak semestinya perlu pandai melukis. cukuplah untuk melepaskan apa yang terbuku di hati.

5.Buat sesuatu yang melekakan sebentar
Mungkin dengan menonton televisyen, mendengar lagu-lagu kesukaan, membeli-belah, menyanyi atau bermain sukan kegemaran. Pastinya kepenatan atau jalan cerita yang anda tonton mengurangkan tekanan

6.Tidur
Strees juga berpunca daripada rehat yang tidak cukup. Lelapkan lah mata sebentar. Pastikan ketika itu anda tidak meletakkan telefon di sebelah. Biarkan diri andak bebas daripada gangguan kebisingan untuk tidur yang lena

7.Elakkan daripada memendang/membuat benda yang sama
kadang-kadang stress berpunca daripada orang sekeliling atau benda yang ada di sekeliling. Jika anda stress dengan orang di sekeliling, cubalah untuk tidak memandang sebentar dan bergaullah dengan orang lain yang boleh menghiburkan anda. Atau, susun semula kedudukan meja anda agar rasa lebih selesa. Jika anda jemu untuk membuat benda yang sama, buatlah kerja lain dahulu sebelum memulakan kembali kerja yang sama.

8.Haruman
Haruman yang segar dapat membuatkan fikiran kita menjadi segar. Jadi, letakkan pewangi di bilik atau meja anda agar anda sentiasa merasa segar

9.Udara
Apabila ruangan udara sempit, jumlah oksigen yang sampai ke otak juga sempit dan anda akan berasa tidak selesa. Ini boleh mengakibatkan stress. Pastikan ruang kerja anda sentiasa bersih dan luas agar udara sentiasa ada.

10.Pelukkan dan Sentuhan
Adakalanya, apabila merasa stress, bererti anda inginkan perhatian. Sentuhan dan pelukkan dapat membuatkan jiwa anda merasa tenang. Seharusnya, ibu bapa yang peka dengan anak-anak akan mengenali situasi anak mereka yang berada dalam keadaan stress. Pelukan dan sentuhan bukan sahaja sebagai tanda kasih sayang, tetapi juga sokongan terhadap individu yang menghadapi stress.

Sunday, October 24, 2010

Sehari sepotong Ayat


" Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".
(Al- Asr: Ayat 1-3)

Pengurusan Masa Ke Tempat Kerja


Sekiranya anda seorang yang sukar membahagikan masa, info ini sangat berguna pada diri anda. Namun begitu segalanya bermula daripada diri anda kerana anda yang boleh mengubahnya. Catatkan perkara berikut:-
  1. Pukul berapa biasanya anda bangun tidur @ berapa lama masa yang anda ambil untuk bagun tidur?
  2. Berapa lama anda bersiap untuk ke tempat kerja?(mandi, bersarapan,solat, menggosok baju)
  3. Pukul berapa anda pergi ke tempat kerja?
  4. Di manakah anda letakkan barangan yang anda akan gunakan esok?

Daripada jadual di atas, anda boleh menentukan berapa banyak masa lapang yang anda ada dan menyusun jadual masa supaya semua aktiviti dapat disempurnakan dengan masa yang tepat.

Buat senarai mengenai perkara yang ingin anda lakukan.
Apabila anda hanya duduk menonton TV beberapa jam atau tidak melakukan apa-apa dan menjadi bosan, gunakan senarai yang ada untuk mengubah masa lapang anda dengan melakukan aktiviti yang lebih produktif.

Tetapkan matlamat tentang apa yang ingin anda capai.
Matlamat anda sasarkan mestilah khusus. Sebagai contoh: "Saya ingin bangun tepat pukul 5.00 pagi", dan jangan mensasarkan matlamat seperti " Saya ingin bangun pagi" sahaja.

Bahagi-bahagikan aktiviti anda mengikut kategori.

Pastikan anda tahu berapa masa yang tinggal jika anda mensasarkan untuk bangun pada pukul 5.00 pagi dan bertolak ke tempat kerja pada pukul 7.30 pagi. Bahagikan masa yang tinggal mengikut kepentingan seperti mandi dahulu, bersembahyang, menggosok baju dan bersarapan. adalah lebih baik jika kerja yang boleh dilakukan pada waktu malam dilakukan dahulu seperti menggosok baju. Jadi anda tidak akan kalangkabut!

Tetapkan had masa.
Berapa minit masa untuk mandi atau menggosok baju, tetapkan had masa.
Pastikan anda menyiapkan kerja tersebut dalam had masa yang ditetapkan.

Gunakan diari.
Diari atau jadual waktu dapat membantu anda melakukan tugasan dan mencapai matlamat yang ditetapkan.Ia juga turut membantu anda untuk merancang aktiviti harian berdasarkan apa yang mesti dibereskan. Secara langsung, ia membantu anda untuk menggunakan masa yang terluang untuk menyiapkan tugasan atau aktiviti yang ingin dilakukan.

Kekalkan rutin harian anda sebaik mungkin.
Mengetahui apa yang perlu dibuat dan bila ia perlu diselesaikan membolehkan anda mencapai apa yang telah disasarkan dengan lebih baik.

Simpan peralatan ke tempat kerja di satu tempat.
Anda hanya akan membazir masa jika perlu mengemas barang-barang hanya untuk mencari sesuatu. Seperti mencari stokin sebelum ke tempat kerja.

Jangan melengah-lengahkan kerja.
Berlengah itu pencuri masa. Anda hanya membazir masa jika melengah-lengahkan kerja.


Hasil
Anda menjadi:

  • Lebih terurus
  • Produktif
  • Kurang tertekan
  • Gembira
  • Mempunyai banyak masa untuk melakukan aktiviti yang lebih bermakna

Sehari sepotong Ayat


"Dan janganlah engkau memalingkan mkamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur, lagi membangga diri."
(Luqman:18)

Jadual Esok...

Esok nampaknya aku berkhidmat di kawasan lain, kira macam out station la...Rasa berat juga nak pergi dalam sibuk-sibuk merancang aktiviti hari keluarga di sekolah sendiri. Pun begitu tugas tetap tugas. Ada tanggungjawab yang lebih utama harus di dahulukan. Bermula di sekolah Sk Bukit Batu di ikuti Sk Indahpura 2 dan ada beberapa buah sekolah lagi di minggu seterusnya. Wah...Nampaknya aku berjumpa kembali warga Sk Indahpura 2. Pernah berkhidmat disitu selepas graduate, harapnya mereka masih mengingatiku. Semoga perjalananku kerjayaku berjalan lancar.

Saturday, October 23, 2010

Sehari sepotong Ayat

Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi Muhammad S.A.W bersabda: Allah berfirman:
" Tiga orang yang menjadi musuhKu pada hari kiamat. Seorang yang berjanji denganmempergunakan namaKu kemudian mungkir. Seorang yang menjual orang merdeka untuk dijadikan hamba. Dan seorang yang mengupah buruh ( pekerja) dan setelah diselesaikan pekerjaannya tidak dibayar upah"
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Thursday, October 21, 2010

Sehari sepotong Ayat


"sifat yang berpada-pada dan mencukupi apa-apa yang ada pada anda, itulah harta yang tidak akan habis-habis yang anda miliki" (Maksud hadis Nabi S.A.W)

Salah Siapa?

Hari ini aku dan kawan sekerja mencuba meminta sedikit sumbangan daripada syarikat-syarikat kecil di sekitar sekolah. Almaklumlah, sekolah luar bandar ini banyak kekurangan dari sebarang aspek. Sumbangan ini bertujuan untuk merealisasikan impian kami yang ingin mengadakan sambutan Hari Keluarga. Buat pertama kali sejak sekian lama biarlah warga-warga pendidik ini mengadakan sambutan di luar kawasan. Teringin nak memandu jauh sedikit dan menikmati udara pantai di Mersing. kutipan sumbangan ini juga bertujuan untuk menokok sedikit duit tabung sekolah. Dari satu kedai ke satu kedai nampaknya tidak sampai pun Rm 100. Bersyukur dan semoga di murahkan rezeki bagi yang memberi. Namun misi memenuhkan tabung masih lagi samar-samar. Ku kira mereka ini agaknya tidak yakin adakah benar pemungut sumbangan ini datangnya dari sekolah seperti yang tertera di surat yang disertakan. Mungkin berita-berita yang tidak enak didada-dada akhbar memungkinkan mereka berhati-hati untuk berbuat baik. Aku tidak menyalahkan mereka, tapi inilah kesannya bila adanya manusia yang tidak amanah, yang menipu untuk kepentingan sendiri akhirnya memberi kesan kepada orang lain. Kalau begini nampaknya sukar untuk menyediakan program-program amal di sekolah pada masa akan datang apabila manusia tidak mempercayai sesama manusia. Salah siapa?

A Day Quote

"if a problem has no solution, it may not problem, but a fact-not to be solved but to be coped with over time."-SHIMON PERES

Sehari sepotong Ayat


Rasulullah S.A.W bersabda:
"Orang yang merasai kelazatan iman, ialah orang yang meredhai Allah sebagai Tuhan, menerima Islam sebagai agama dan mengaku Muhammad sebagai nabi"

Mulakan Hari ini....

Hari ini, cuaca yang redup sahaja sepanjang jalan. Damai terasa. Walaupun berbagai persoalan bermain di fikiran tapi semuanya tak berjaya menggugat emosiku pada hari ini. Sebenarnya , tidak kira siapa pun kita akan tetap berhadapan dengan masalah. kerana itu semua jalan bagi kita untuk melangkah kehadapan dengan berani. Pun begitu, untuk menghadapi sesuatu itu amatlah berat, tapi apabila hati kita redha menerima ketetapan ilahi pada kita dan berusaha dengan ikhlas serta berdoa, percayalah, segalanya akan seperti biasa. Bagaimana pula untuk redha??....cubalah bermuhasabah diri, fikirkan tentang hikmah yang terjadi. Tuhan sentiasa mengasihani dan menyayangi kita maka berdoalah. Di situ kita perolehi ketenangan dan hati redha.

Wednesday, October 20, 2010

Sehari sepotong Ayat


Allah S.W.T berfirman yang ertinya:
"Berdoalah kepadaku nescaya Aku kabulkan permohonan kamu"
(Al-Mukmin:60)

KISAH-KISAH NABI

Dari Nabi S.A.W., "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan lima wasiat, antaranya :

1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

4. Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

5. Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Ibrahim bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T.

Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :

1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.

2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya.

3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.

4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.

5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.

6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.

7. Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."

Tuesday, October 19, 2010

Mari Menari

Sejak lepas daripada perkhemahan di sekolah, nampaknya aktiviti guru-guru permpuan semakin terisi. Apa tidaknya, bila di ajak menari poco-poco nampaknya semua ingin turut serta. bertambah menarik golongan yang pendiam juga suka rela turut serta. Hilang segala duka dan penat mendidik apabila hilai tawa kedengaran setiap kali perlanggaran antara individu berlaku. mana tidak, yang baru belajar terkial-kial mencari arah gerak kaki, mana yang belum dapat mengagak langkah pula seperti nak mengambil tempat di setiap penjuru. Syabas rakan-rakan, setidaknya bila menari melatih persefahaman dan melupakan perselisihan antara kita..

Saturday, October 16, 2010

Jangan Terlalu Berkira...

"Aku sudah buat yang ini, biarlah orang lain pula buat yang ini, asyik aku saja yang membuatnya". Ungkapan seperti itu adakalanya sering hadir dalam kehidupan kita. Sehinggakan adakalanya seseorang manusia cenderung berkira dalam membuat sesuatu. Kehidupan ini akan menjadi tidak indah sekiranya ungkapan disitu hadir dalam hidup kita. Tak salah kalau membuat kerja lebih dari orang lain, kerana ganjaran pahala itu sentiasa ada bagi mereka yang redha dengan apa yang mereka lakukan. Dan sebenarnya ganjaran itu akan berbalik kepada diri kita sendiri jika sebelum ini kita ikhlas bila sampai satu masa seseorang akan berkatapula kepada kita, " Bahagian kerja itu biar saya habiskan. Awak pergilah berehat pula". Bukan kah hidup ini indah bila kita mencorakkanya indah?...

Friday, October 15, 2010

TIP-TIP PENJAGAAN KOMPUTER RIBA

* Bateri
Elakkan daripada penggunaan bateri dan digalakkan untuk menggunakan kuasa terus dari punca elektrik.
Komputer lebih sejuk tanpa haba dari bateri.
Jika bateri sudah habis dicas, digalakkan menggunakan kuasa dari adapter.
Pastikan bateri berada di bawah 10 peratus sebelum dicas semula.Jika terlalu kerap dicas, bateri akan kehilangan keupayaan menyimpan tenaga di bawah 50 peratus.

* Papan Kekunci.
Letakkan sekeping kertas A4 untuk papan kekunci setiap kali tidak menggunakannya untuk menghindarkan papan kekunci dimasuki habuk.
Sesekali lapkan papan kekunci dengan perlahan-lahan. Jangan terlalu kasar untuk mengelakkan butang kekunci rosak.
Gunakan papan kekunci dan tetikus berasingan supaya kita tidak terlalu kerap menggunakan papan kekunci di komputer riba.

* Skrin LCD
Lapkan skrin selalu kerana ia mudah dimasuki habuk.
Gunakan screen saver.
Power management setkan pada 'Turn Off monitor in ... minutes'.
Elakkan menyentuh skrin dengan jari kerana kesan jari yang berminyak menyukarkan untuk pembersihan.
Jangan letakkan jari di skrin kerana boleh menyebabkan 'Dead pixel'.

* Haba Panas
Pastikan komputer riba anda mempunyai ruang untuk mengeluarkan haba panas.
Perlu diingat komputer riba mempunyai ruang simpanan yang kecil.

* Surge Protector
Fungsinya sebagai menjaga perisian dan perkakasan daripada rosak.
Disyorkan untuk diguna bagi menjaga perkakasan dalaman komputer riba.
Kelebihan lain Surge Protector ialah menjaga pemacu cakera keras (HDD) dan punca kuasa (Power Supply).

* Port
Sentiasa dibersihkan kerana mudah dimasuki habuk.
Gunakan berus atau berus gigi lama.
Pastikan suis dimatikan ketika membuat pembersihan.