Bekas guru jual serunding daging jadi jutawan 
 
 Oleh Norizan Abdul Muhid 
 
 
 KUALA LUMPUR 8 Mei - Setelah lebih 32 tahun terlibat dalam perniagaan,  bekas guru, Nafsiah Yeop Abdullah tidak menyangka akhirnya bergelar  jutawan dengan hanya menjual serunding daging. 
 
 Bayangkan dalam usia 67 tahun, dunia perniagaan yang diceburinya sejak  muda, memberikannya pulangan lumayan sebanyak RM2.5 juta setahun. 
 
 Satu ketika dulu, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi kaya,  lebih-lebih lagi apabila cubaan pertama menjual daging ayam di pasar  tani tidak mendapat sambutan. 
 
 Bagaimanapun, wanita gigih yang mempunyai empat anak dan 30 cucu itu tidak mudah berputus asa. 
 
 ``Sebelum menjual serunding, saya menjual daging ayam tetapi perniagaan  tidak mendapat sambutan dan ayam yang tidak terjual terpaksa dibuang. 
 
 ``Pada waktu itulah, saya mendapat idea membuat serunding daripada  daging ayam yang tidak laku dan menjualnya terus ke pasar tani. Syukur  jualan serunding saya semakin laris,'' katanya. 
 
 Nafsiah adalah antara 39 tokoh Melayu yang terpilih menerima `Anugerah  Melayu Cemerlang' sempena Ulang Tahun Ke-60 UMNO yang akan disambut pada  11 Mei ini. 
 
 Anugerah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal  Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Majlis Tertinggu UMNO  di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. 
 
 Mereka dipilih berdasarkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang pendidikan, industri tanaman dan penternakan serta sukan. 
 
 Selain Nafsiah, pemilik Ramly Burger, Ramly Mokni dan penternak lembu  kambing, Mohd. Nazri Md. Hassan turut terpilih menerima anugerah  tersebut. 
 
 Ramly, 50, meraih pendapatan sehingga RM200 juta setahun dengan menjual,  membekal dan memasarkan sendiri produk makanan burger dan nuget ayam  serta daging. 
 
 Beliau juga membuktikan tanpa ijazah atau diploma, dia mampu meraih pendapatan kira-kira RM1 juta sebulan. 
 
 Apa yang penting, katanya, mereka yang ingin berjaya dalam perniagaan harus mempunyai minat mendalam terhadap bidang itu. 
 
 ``Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membuat burger di rumah ketika berusia 17 tahun lagi. 
 
 ``Pelbagai masalah dihadapi namun saya tidak pernah putus asa dan  akhirnya selepas lebih 20 tahun, perniagaan saya berkembang dan kini  menguasai pasaran tempatan,'' katanya. 
 
 Nazri pula berkata, beliau terpaksa bekerja keras untuk berjaya mencapai kehidupan yang dikecapinya hari ini. 
 
 Beliau meraih pendapatan sehingga RM6 juta setahun dan mengeluarkan 3,000 ternakan lembu serta kambing.
 
No comments:
Post a Comment