Sedang aku mencari-cari nama Tokoh Usahawan Melayu, terjumpa aku satu forum yang menyiarkan artikel ini. Begitu bersemangat sekali setelah aku membacanya. (cubalah tengok di alamat ni mforum.cari.com.my/archiver/?tid-414849.html . Namun, amat dikesali aku tak tau siapa yang empunya forum tersebut untuk aku letak namanya, mungkin namanya cakna kot..anyway thank you kepada penyiarnya. Ada banyak lagi cerita usahawan melayu berjaya...Mari kita berkongsi.
Nasihat lulusan SPM gred 3 kepada graduan 
 
 Saudara Pengarang, 
 
 SAYA mohon maaf. Tulisan ini bukan untuk membangga diri, cuma untuk  memberi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak kita.Adik-adik abang  yang masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi atau pun sudah memiliki  ijazah tetapi masih menganggur mungkin adik-adik termasuk dalam  golongan 50,000 graduan tanpa pekerjaan. Di sini abang ingin berkongsi  sedikit pengalaman diri abang. 
 
 
 Abang kini berusia 41 tahun, berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM)gred 3 tahun 1980. Ibu bapa abang bekerja di sawah. Mereka  meninggal dunia ketika abang berusia 19 tahun dan tidak juga  meninggalkan harta kecuali anak-anak yang ramai. 
 
 Pada waktu itu SPM gred 3 `laku' juga. Ramai kawan-kawan abang yang  mendapat pekerjaan seperti pembantu makmal, posmen dan ada yang memasuki  maktab perguruan. 
 
 Nasib abang pula sama seperti nasib adik-adik, memohon pelbagai jawatan  tapi gagal. Waktu dulu jangankan nak dapat surat sokongan wakil rakyat,  nak dapatkan surat ketua kampung pun susah. Oleh itu soal pilih kasih  ini sudah wujud sejak dulu, bukan hanya sekarang. 
 
 Oleh kerana abang anak sulung, terpaksalah mencari rezeki untuk keluarga  di samping adik-beradik. Abang bermula dengan menjaja ais krim di  keliling kampung dan di tempat kenduri kahwin. 
 
 Selepas beberapa tahun menjaja ais krim, abang dapat pula peluang  Berniaga pakaian di pasar malam. Bermula dengan menggunakan motosikal  buruk, kemudian kereta buruk, selepas itu van baru. Kini abang berjaya  menjadipengedar pakaian kepada peniaga-peniaga lain. 
 
 Di samping itu abang juga menjalankan perniagaan kelapa untuk diedarkan  kepada peniaga-peniaga runcit. Hasil keuntungan kedua-dua perniagaan ini  akhirnya abang berjaya membeli tanah seluas 12 hektar (30 ekar) dan  ditanam dengan kelapa sawit. 
 
 Adik-adik, di sini abang ingin nyatakan pendapatan bulanan abang  sekarang. Pendapatan utama abang adalah hasil jualan kelapa 3,000 biji  sehari x 20 sen untung setiap biji = RM600 sehari x 30 hari = RM18,000  sebulan. 
 
 Pendapatan kedua abang adalah hasil kelapa sawit. Dengan harga sekarang  abang mampu mencapai pendapatan RM10,000 RM12,000 sebulan. Akhirnya  pendapatan yang ketiga hasil jualan pakaian antara RM6,000 RM8,000  sebulan. 
 
 Jika dicampur semua pendapatan abang, alhamdulillah pada setiap bulan  pendapatan bersih abang antara RM24,000 RM28,000 selepas ditolak gaji  lima orang pekerja tetap dan pekerja sambilan. 
 
 Adik-adik, banyak lagi usaha yang abang lakukan, seperti penanaman nanas  Eropah, seluas lima ekar keuntungannya antara RM135,000 RM170,000  semusim. Tempohnya hanya 10 hingga 12 bulan. 
 
 Begitulah adik-beradik abang yang lain, walaupun bersekolah setakat  Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan SPM. Mereka juga mempunyai perniagaan  sendiri. Purata pendapatan bulanan mereka melebihi RM30,000. 
 
 Walaupun mereka buta komputer dan bisu bahasa Inggeris, tiap-tiap tahun  mereka melancong ke luar negara. Abang dan adik-beradik yang lain mampu  tinggal di rumah besar dan berkereta mewah malahan isteri kami juga  tidak bekerja. 
 
 Adik-adik abang yang dikasihi, inilah rahsia perniagaan yang tidak ramai  anak-anak Melayu tahu. Oleh itu nasihat abang tak usahlah adik-adik  bermati-matian merebut peluang pekerjaan makan gaji sama ada dengan  kerajaan atau swasta yang hanya menawarkan RM2,000 RM3,000 sebulan. 
 
 Tanam cita-cita dan kuatkan azam untuk dapatkan pendapatan RM60,000  RM70,000 sebulan. Jika di universiti adik-adik mempunyai idea yang  banyak, teori yang banyak, tenaga muda yang kuat, tetapi kenapa apabila  adik-adik berada dalam masyarakat, tiba-tiba menjadi letih, lesu dan  semuanya minta disuapkan. 
 
 Ciptalah kerja sendiri, seperti anak-anak bukan Melayu, rebutlah Peluang  perniagaan yang banyak dalam bidang pengangkutan, makanan,  ternakan,pertanian, pelancongan dan lain-lain. 
 
 Nasihat abang, jika adik-adik bimbang untuk melibatkan diri dalam  perniagaan secara perseorangan, buatlah secara kumpulan yang melibatkan  empat atau lima orang. Peringkat permulaan buat secara kecilan, tetapi  jualan hendaklah secara tunai. 
 
 Jangan fikirkan soal kelulusan. Jika ada kelulusan bidang elektrik, apa  salahnya menceburi bidang pertanian. Ingatlah pesanan Tun Dr. Mahathir  Mohamad untuk hidup berjaya orang-orang Melayu mesti berniaga. - ABANG 
 BERJAYA, Teluk Intan, Perak.
 
No comments:
Post a Comment