Irsyadee Ft Hafiz Hamidun - Taubat Seorang Hamba Mp3
Musicaddict.com

Thursday, January 13, 2011

Peperangan dan Berperang..(Monolog Seorang hamba...)

Hari ini dan seminggu kebelakangan ini, letupan demi letupan kuat kedengaran di hati..mungkin kerana terlalu memikirkan harapan yang tidak kesampaian, kerjaya yang tak menyebelahi, perasaan yang kerap terluka, dalam masa yang sama mencari kekuatan diri sendiri menyebabkan perang meletus dengan tiba-tiba...Sehingga adakalanya simbahan air mata pada kubu-kubu pertahanan hati terpaksa dilakuka demi memadam api daripada terus marak meruntuhkan kubu-kubu yang rapuh. Laungan kalimah Allah berselang seli dengan tembakan meriam nafsu silih berganti.
Hebatnya didalam sini...di mana iman, akal dan nafsu sering berselisihan dalam mencari jawapan dan akan aku pastikan Iman yang akan memenangi segenap penjuru di benakku, di sanubariku, di setiap sudut yang dipinjamkan untukku...
Letupan demi letupan yang kuat kedengaran itu juga, akan aku pastikan letupan dari meriam yang berbunyikan keredhaan yang akan mengalahkan setiap nafsu yang tidak pernah syukur. Begitu sukar untuk mencari kemenangan keredhaan menghadapi Qada' dan Qadar...
Namun aku harus berjuang kerana hadiah yang maha hebat sedang menantiku di sana...Doakan agar aku berjaya dalam peperangan ini!Moga esok dapatku kibarkan panji kemenangan diriku...

Coretan : AZIE

Adakalanya....

Adakalanya
aku pun tak mengerti apakah mahuku
Adakalanya
Aku juga tak mengerti mana tabahku
Adakalanya
Aku tidak Mengerti mengapa aku??
Adakalanya..
Aku Jadi tidak bersyukur...
Tuhanku...
HambaMu ini amat lemah
Iman ini tidak tebal mana
Kaki ini tidak selaju mana
hati ini tidak seteguh mana
Jiwa ini tidak sekenyal mana
Tuhanku..
Kau ampuni aku yang penuh dosa
Kau rapati aku yang penuh hampa
Kau bimbingi aku yang hilang arah
Kau campakan Nur dalam jiwaku yang gelap gelita
TanpaMu Tuhanku
Apalah dayaku
Kerana Adakalanya aku teralpha
Dengan Nikmat Dunia

Coretanku: AZIE

Wednesday, December 15, 2010

Bersabarlah adik-adikku yang sedang kecewa...

surat tawaran universiti sudah mula menemui adik-adik yang berhajat untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Buat yang berjaya di ucapkan tahniah dan buatlah dengan lebih baik pada masa akan datang. Jangan sia-siakan peluang yang diberikan kerana di luar ini begitu ramai yang kecewa kerana tidak memperolehi kesempatan seperti mana yang adik perolehi..
Untuk adik-adik yang kurang berjaya, jangan putus asa. Tuhan itu lebih mengetahui apa hikmah yang tersembunyi buat kita di kemudian hari. Dan inilah juga masa yang paling sesuai untuk adik bertafakur sekejap untuk mencari kesilapan agar boleh di perbaiki pada masa akan datang. Kajilah balik kesilapan yang pernah kita lakukan, mungkin kita tidak berjaya kerana dosa kita pada tuhan, ibu bapa atau orang sekeliling. Apa yang penting, ubahlah diri....jangan asik bertanya kenapa aku yang di pilih untuk gagal sedangkan orang lain lebih teruk dariku?...kerana jawapannya tetap satu iaitu Allah lebih mengetahui, dan Allah juga memberi rezeki dan menguji pada yang dikehendaki dan ingat juga, usaha yang kita lakukan sebelum ini, barangkali pada kita tidak setimpal dengan yang kita perolehi hari ini seperti yang kita harapkan, kerana kita hanya menilai rezeki yang tuhan bagi bedasarkan apa yang kita mahu sedangkan Allah memberi rezeki tak putus-putus malahan berlimpahan dari apa yang diharapkan dalam bentuk yang lebih baik...
Semoga adik-adik tenang menghadapi musibah dan jangan berputus asa. Allah sentiasa bersama orang yang sabar...

Tuesday, November 9, 2010

Sehari sepotong Ayat

Allah S.W.T berfirman: Katakanlah (Wahai Muhammad):
"Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Furqan:9)

Belajar Berbudi Bahasa

Manusia tidak boleh hidup sendirian tanpa pertolongan manusia yang lain. Petani memerlukan nelayan untuk makan ikan, nelayan pun perlukan petani untuk makan sayuran. Begitu juga jika setinggi manapun jawatan kita, jika kita pegawai kita memerlukan kerani untuk membantu kerja kita. Siapa pun kita, kita tetap memerlukan insan lain dalam hidup kita. Duit yang melimpah bukan satu tanda kita boleh melakukan apa sahaja.
Kesalnya, bila ada lagi segelintir manusia yang tidak tahu menghargai pertolongan orang lain, tidak tahu menghargai sumbangan orang lain dalam kehidupan dek kerana merasakan kedudukan yang lebih tinggi.
Sayangnya, manusia yang tidak tahu menghargai ini terlepas banyak perkara dan nikmat yang amat indah yang tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Jika kita tahu menghargai orang lain, penghargaan itu sebenarnya akan berbalik kepada kita. Jika tahu berbudi bahasa dengan orang, orang lain akan membantu kerja kita bukan setakat membuat kerja kerana tuntutan tanggungjawab tapi kerana keikhlasan dan hati yang riang.
Gunalah perkataan "Mintak Tolong.." dan "Maaf.." dalam kehidupan seharian agar kelak orang lebih senang untuk bekerjasama dengan kita, dan semua itu menyumbang pada rezeki kita juga. Tak semena-mena orang belanja makan atau dapat cenderahati daripada orang yang sentiasa mengingati kita. Tak rugikan berbudi bahasa ni?...

Thursday, November 4, 2010

Sehari sepotong Ayat


Rasullullah S.A.W bersabda:" Tuntutlah dari ilmu apa-apa yang kamu kehendaki, Sesungguhnya ilmu yang kamu dapati itu tidak akan manfaatnya di sisi Allah, jika kamu tidak mengamalkan apa yang telah kamu pelajari" ( Hadis Riwayat Ibn Adi)

Antara Matlamat dan Impian


Semua insan melalui liku hidup yang berbeza namun setiap daripada kita mengimpikan sesuatu yang sama, hidup senang, banyak wang ringgit, kereta serta rumah besar dalam erti kata lain adalah satu impian yang indah. Namun, dalam berimpian kita terlupa untuk memberitahu diri kita tentang perlunya matlamat.
Pernahkah anda terfikir, pada usia berapakah anda mahu berkhawin, berkereta besar, naik pangkat?...kebiasaan kita hanya akan mengungkapkan, "satu hari nanti aku pasti berkereta besar" atau " tak tahulah, mungkin 2 atau 3 tahun lagi kot"...Kenapa tidak di spesifikkan lagi kepada, "di usia 35 aku sudah mempunyai rumah besar", atau "pada tarikh11.10.2010 akan menjadi tarikh penting dalam hidup aku".
Perlunya perancangan dalam hidup agar jarak matlamat yang kita sasarkan tidak lari begitu jauh. Samalah macam menetapkan menu apa yang ingin dimakan berbanding dengan makan apa yang ada. Jadi, usaha akan seiring kerana kita akan berasa bertanggungjawab sekaligus matlamat mendesak kita untuk berjuang kearah apa yang di impikan. Sebagai contoh, sekiranya anda memandu dan anda tahu jarak ke arah tempat yang akan anda tuju, anda pasti dapat menganggar bila akan sampai dan cuba untuk sampai pada tepat masanya. Cuba bayangkan jika anda tidak tahu dimana letaknya Cameron Highland dan anda memandu tanpa arah, untung sabut anda jumpa tempat di tuju, bagaimana jika untung batu?Dan berapa pula masa yang akan di ambil?
Pendek kata, matlamat membuat kita lebih besedia menghadapi sesuatu, lebih maju daripada orang lain. Jadi, jika ada aral di tengah jalan pun, tidaklah mengambil masa yang panjang kerana anda telah bersedia. Dan lagi, Jangan cipta seribu satu alasan dalam menuju matlamat, sebaliknya carilah satu atau lebih jawapan. Kerana, tiada orang yang menuju kejayaan tanpa susah atau dengan menadah tangan menunggu pertolongan tiba. Namun setelah usaha dan berdoa, segalanya bukan kuasa kita. Tapi tuhan juga tidak suka kita berputus asa. Fikirkan lah jalan lain untuk mencapai matlamat kita. Fikirkan dan fikirkan sehingga kita berjaya. Kerana yang berjaya pun kita, dan yang susah pun kita....So, sapalah lagi yang mahu membantu diri kita melainkan kita sendiri.