Wednesday, December 15, 2010
Bersabarlah adik-adikku yang sedang kecewa...
Untuk adik-adik yang kurang berjaya, jangan putus asa. Tuhan itu lebih mengetahui apa hikmah yang tersembunyi buat kita di kemudian hari. Dan inilah juga masa yang paling sesuai untuk adik bertafakur sekejap untuk mencari kesilapan agar boleh di perbaiki pada masa akan datang. Kajilah balik kesilapan yang pernah kita lakukan, mungkin kita tidak berjaya kerana dosa kita pada tuhan, ibu bapa atau orang sekeliling. Apa yang penting, ubahlah diri....jangan asik bertanya kenapa aku yang di pilih untuk gagal sedangkan orang lain lebih teruk dariku?...kerana jawapannya tetap satu iaitu Allah lebih mengetahui, dan Allah juga memberi rezeki dan menguji pada yang dikehendaki dan ingat juga, usaha yang kita lakukan sebelum ini, barangkali pada kita tidak setimpal dengan yang kita perolehi hari ini seperti yang kita harapkan, kerana kita hanya menilai rezeki yang tuhan bagi bedasarkan apa yang kita mahu sedangkan Allah memberi rezeki tak putus-putus malahan berlimpahan dari apa yang diharapkan dalam bentuk yang lebih baik...
Semoga adik-adik tenang menghadapi musibah dan jangan berputus asa. Allah sentiasa bersama orang yang sabar...
Tuesday, November 9, 2010
Sehari sepotong Ayat
"Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Furqan:9)
Belajar Berbudi Bahasa
Kesalnya, bila ada lagi segelintir manusia yang tidak tahu menghargai pertolongan orang lain, tidak tahu menghargai sumbangan orang lain dalam kehidupan dek kerana merasakan kedudukan yang lebih tinggi.
Sayangnya, manusia yang tidak tahu menghargai ini terlepas banyak perkara dan nikmat yang amat indah yang tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Jika kita tahu menghargai orang lain, penghargaan itu sebenarnya akan berbalik kepada kita. Jika tahu berbudi bahasa dengan orang, orang lain akan membantu kerja kita bukan setakat membuat kerja kerana tuntutan tanggungjawab tapi kerana keikhlasan dan hati yang riang.
Gunalah perkataan "Mintak Tolong.." dan "Maaf.." dalam kehidupan seharian agar kelak orang lebih senang untuk bekerjasama dengan kita, dan semua itu menyumbang pada rezeki kita juga. Tak semena-mena orang belanja makan atau dapat cenderahati daripada orang yang sentiasa mengingati kita. Tak rugikan berbudi bahasa ni?...
Thursday, November 4, 2010
Sehari sepotong Ayat
Antara Matlamat dan Impian

Pernahkah anda terfikir, pada usia berapakah anda mahu berkhawin, berkereta besar, naik pangkat?...kebiasaan kita hanya akan mengungkapkan, "satu hari nanti aku pasti berkereta besar" atau " tak tahulah, mungkin 2 atau 3 tahun lagi kot"...Kenapa tidak di spesifikkan lagi kepada, "di usia 35 aku sudah mempunyai rumah besar", atau "pada tarikh11.10.2010 akan menjadi tarikh penting dalam hidup aku".
Perlunya perancangan dalam hidup agar jarak matlamat yang kita sasarkan tidak lari begitu jauh. Samalah macam menetapkan menu apa yang ingin dimakan berbanding dengan makan apa yang ada. Jadi, usaha akan seiring kerana kita akan berasa bertanggungjawab sekaligus matlamat mendesak kita untuk berjuang kearah apa yang di impikan. Sebagai contoh, sekiranya anda memandu dan anda tahu jarak ke arah tempat yang akan anda tuju, anda pasti dapat menganggar bila akan sampai dan cuba untuk sampai pada tepat masanya. Cuba bayangkan jika anda tidak tahu dimana letaknya Cameron Highland dan anda memandu tanpa arah, untung sabut anda jumpa tempat di tuju, bagaimana jika untung batu?Dan berapa pula masa yang akan di ambil?
Pendek kata, matlamat membuat kita lebih besedia menghadapi sesuatu, lebih maju daripada orang lain. Jadi, jika ada aral di tengah jalan pun, tidaklah mengambil masa yang panjang kerana anda telah bersedia. Dan lagi, Jangan cipta seribu satu alasan dalam menuju matlamat, sebaliknya carilah satu atau lebih jawapan. Kerana, tiada orang yang menuju kejayaan tanpa susah atau dengan menadah tangan menunggu pertolongan tiba. Namun setelah usaha dan berdoa, segalanya bukan kuasa kita. Tapi tuhan juga tidak suka kita berputus asa. Fikirkan lah jalan lain untuk mencapai matlamat kita. Fikirkan dan fikirkan sehingga kita berjaya. Kerana yang berjaya pun kita, dan yang susah pun kita....So, sapalah lagi yang mahu membantu diri kita melainkan kita sendiri.
Monday, November 1, 2010
Pesanan buat Adik-Adik/Siswa-Siswi


Sehari sepotong Ayat
Motivasi Untuk Graduan (siri 2)
Oleh Norizan Abdul Muhid
KUALA LUMPUR 8 Mei - Setelah lebih 32 tahun terlibat dalam perniagaan, bekas guru, Nafsiah Yeop Abdullah tidak menyangka akhirnya bergelar jutawan dengan hanya menjual serunding daging.
Bayangkan dalam usia 67 tahun, dunia perniagaan yang diceburinya sejak muda, memberikannya pulangan lumayan sebanyak RM2.5 juta setahun.
Satu ketika dulu, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi kaya, lebih-lebih lagi apabila cubaan pertama menjual daging ayam di pasar tani tidak mendapat sambutan.
Bagaimanapun, wanita gigih yang mempunyai empat anak dan 30 cucu itu tidak mudah berputus asa.
``Sebelum menjual serunding, saya menjual daging ayam tetapi perniagaan tidak mendapat sambutan dan ayam yang tidak terjual terpaksa dibuang.
``Pada waktu itulah, saya mendapat idea membuat serunding daripada daging ayam yang tidak laku dan menjualnya terus ke pasar tani. Syukur jualan serunding saya semakin laris,'' katanya.
Nafsiah adalah antara 39 tokoh Melayu yang terpilih menerima `Anugerah Melayu Cemerlang' sempena Ulang Tahun Ke-60 UMNO yang akan disambut pada 11 Mei ini.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Majlis Tertinggu UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mereka dipilih berdasarkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang pendidikan, industri tanaman dan penternakan serta sukan.
Selain Nafsiah, pemilik Ramly Burger, Ramly Mokni dan penternak lembu kambing, Mohd. Nazri Md. Hassan turut terpilih menerima anugerah tersebut.
Ramly, 50, meraih pendapatan sehingga RM200 juta setahun dengan menjual, membekal dan memasarkan sendiri produk makanan burger dan nuget ayam serta daging.
Beliau juga membuktikan tanpa ijazah atau diploma, dia mampu meraih pendapatan kira-kira RM1 juta sebulan.
Apa yang penting, katanya, mereka yang ingin berjaya dalam perniagaan harus mempunyai minat mendalam terhadap bidang itu.
``Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membuat burger di rumah ketika berusia 17 tahun lagi.
``Pelbagai masalah dihadapi namun saya tidak pernah putus asa dan akhirnya selepas lebih 20 tahun, perniagaan saya berkembang dan kini menguasai pasaran tempatan,'' katanya.
Nazri pula berkata, beliau terpaksa bekerja keras untuk berjaya mencapai kehidupan yang dikecapinya hari ini.
Beliau meraih pendapatan sehingga RM6 juta setahun dan mengeluarkan 3,000 ternakan lembu serta kambing.
Sunday, October 31, 2010
Sehari sepotong Ayat
Motivasi Untuk Graduan (siri 1)
Nasihat lulusan SPM gred 3 kepada graduan
Saudara Pengarang,
SAYA mohon maaf. Tulisan ini bukan untuk membangga diri, cuma untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak kita.Adik-adik abang yang masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi atau pun sudah memiliki ijazah tetapi masih menganggur mungkin adik-adik termasuk dalam golongan 50,000 graduan tanpa pekerjaan. Di sini abang ingin berkongsi sedikit pengalaman diri abang.
Abang kini berusia 41 tahun, berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)gred 3 tahun 1980. Ibu bapa abang bekerja di sawah. Mereka meninggal dunia ketika abang berusia 19 tahun dan tidak juga meninggalkan harta kecuali anak-anak yang ramai.
Pada waktu itu SPM gred 3 `laku' juga. Ramai kawan-kawan abang yang mendapat pekerjaan seperti pembantu makmal, posmen dan ada yang memasuki maktab perguruan.
Nasib abang pula sama seperti nasib adik-adik, memohon pelbagai jawatan tapi gagal. Waktu dulu jangankan nak dapat surat sokongan wakil rakyat, nak dapatkan surat ketua kampung pun susah. Oleh itu soal pilih kasih ini sudah wujud sejak dulu, bukan hanya sekarang.
Oleh kerana abang anak sulung, terpaksalah mencari rezeki untuk keluarga di samping adik-beradik. Abang bermula dengan menjaja ais krim di keliling kampung dan di tempat kenduri kahwin.
Selepas beberapa tahun menjaja ais krim, abang dapat pula peluang Berniaga pakaian di pasar malam. Bermula dengan menggunakan motosikal buruk, kemudian kereta buruk, selepas itu van baru. Kini abang berjaya menjadipengedar pakaian kepada peniaga-peniaga lain.
Di samping itu abang juga menjalankan perniagaan kelapa untuk diedarkan kepada peniaga-peniaga runcit. Hasil keuntungan kedua-dua perniagaan ini akhirnya abang berjaya membeli tanah seluas 12 hektar (30 ekar) dan ditanam dengan kelapa sawit.
Adik-adik, di sini abang ingin nyatakan pendapatan bulanan abang sekarang. Pendapatan utama abang adalah hasil jualan kelapa 3,000 biji sehari x 20 sen untung setiap biji = RM600 sehari x 30 hari = RM18,000 sebulan.
Pendapatan kedua abang adalah hasil kelapa sawit. Dengan harga sekarang abang mampu mencapai pendapatan RM10,000 RM12,000 sebulan. Akhirnya pendapatan yang ketiga hasil jualan pakaian antara RM6,000 RM8,000 sebulan.
Jika dicampur semua pendapatan abang, alhamdulillah pada setiap bulan pendapatan bersih abang antara RM24,000 RM28,000 selepas ditolak gaji lima orang pekerja tetap dan pekerja sambilan.
Adik-adik, banyak lagi usaha yang abang lakukan, seperti penanaman nanas Eropah, seluas lima ekar keuntungannya antara RM135,000 RM170,000 semusim. Tempohnya hanya 10 hingga 12 bulan.
Begitulah adik-beradik abang yang lain, walaupun bersekolah setakat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan SPM. Mereka juga mempunyai perniagaan sendiri. Purata pendapatan bulanan mereka melebihi RM30,000.
Walaupun mereka buta komputer dan bisu bahasa Inggeris, tiap-tiap tahun mereka melancong ke luar negara. Abang dan adik-beradik yang lain mampu tinggal di rumah besar dan berkereta mewah malahan isteri kami juga tidak bekerja.
Adik-adik abang yang dikasihi, inilah rahsia perniagaan yang tidak ramai anak-anak Melayu tahu. Oleh itu nasihat abang tak usahlah adik-adik bermati-matian merebut peluang pekerjaan makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta yang hanya menawarkan RM2,000 RM3,000 sebulan.
Tanam cita-cita dan kuatkan azam untuk dapatkan pendapatan RM60,000 RM70,000 sebulan. Jika di universiti adik-adik mempunyai idea yang banyak, teori yang banyak, tenaga muda yang kuat, tetapi kenapa apabila adik-adik berada dalam masyarakat, tiba-tiba menjadi letih, lesu dan semuanya minta disuapkan.
Ciptalah kerja sendiri, seperti anak-anak bukan Melayu, rebutlah Peluang perniagaan yang banyak dalam bidang pengangkutan, makanan, ternakan,pertanian, pelancongan dan lain-lain.
Nasihat abang, jika adik-adik bimbang untuk melibatkan diri dalam perniagaan secara perseorangan, buatlah secara kumpulan yang melibatkan empat atau lima orang. Peringkat permulaan buat secara kecilan, tetapi jualan hendaklah secara tunai.
Jangan fikirkan soal kelulusan. Jika ada kelulusan bidang elektrik, apa salahnya menceburi bidang pertanian. Ingatlah pesanan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk hidup berjaya orang-orang Melayu mesti berniaga. - ABANG
BERJAYA, Teluk Intan, Perak.
Friday, October 29, 2010
Sehari sepotong Ayat

(Hadis Rasullullah S.A.W diriwayatkan olehAbu Hurairah R.A)
Recurrent Shoulder Dislocation
Menurut Pakar Ortopedik dan Pembedahan Sukan dari Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Khaizatul Ezam Abu Bakar, bahu yang sering terlepas atau dikenali sebagai recurrent shoulder dislocation adalah komplikasi yang sering berlaku selepas dislokasi bahu (sendi bahu terkeluar selepas berlakunya kecederaan).
“Dislokasi bahu boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur. Ia selalunya terjadi berikutan trauma atau jatuh dan boleh menjadi sakit.
Dislokasi bahu yang tidak dirawat dengan sempurna boleh menyebabkan ketidakstabilan pada sendi tersebut menyebabkannya sering tercabut atau dislokasi berulang-ulang.
Keadaan ini dikenal pasti sebagai ketidakstabilan bahu. Bila ini berlaku, pesakit mempunyai kesukaran untuk bermain atau melakukan aktiviti berat menggunakan bahu tersebut,” ujarnya.
Dislokasi boleh berlaku tanpa sebarang trauma dan spontan selepas melakukan pergerakan abduksi dan pusingan luaran (external rotation) pada bahu.
Pesakit dinasihatkan mengelak kedudukan pergerakan tersebut bagi mencegah dislokasi daripada berulang.
Tambah Dr. Ezam, ketidakstabilan sendi bahu atau sendi bahu yang longgar berlaku dalam dua keadaan iaitu traumatik dan atraumatik. Traumatik berlaku apabila kecederaan serius pada struktur sokongan sendi bahu menyebabkan sendi tersebut mudah tercabut dan dislokasi berlaku secara berulang-ulang.
Keadaan ini berlaku lazimnya pada golongan muda yang aktif bersukan. Pesakit yang lebih muda dan lebih aktif ketika berlakunya dislokasi pertama lebih berisiko untuk mendapat ketidakstabilan bahu.
Sementara itu, autraumatik berlaku pada individu yang memiliki struktur sokongan sendi yang longgar sama ada secara genetik atau keturunan.
Bukan sahaja sendi bahu individu tersebut longgar malahan turut melibatkan sendi-
sendi lain. Dislokasi yang berlaku selalunya tidak sakit dan individu tersebut mudah untuk memasukkan sendi tersebut ke keadaan asal.
“Ketidakstabilan sendi bahu yang berlaku disebabkan oleh trauma bermula apabila dislokasi sendi bahu yang pertama menyebabkan kecederaan pada struktur ligamen sokongan pada sendi tersebut,” ujarnya.
Dr. Ezam menjelaskan, sendi bahu terbentuk daripada artrikulasi pangkal tulang humerus dengan bahagian glenoid tulang skapula. Glenoid atau soket sendi bahu mempunyai permukaan yang rata dan ia dikelilingi oleh labrum (mangkuk rawan) yang turut menyelaputi tulang humerus,” jelasnya. Apabila dislokasi berlaku, labrum terkoyak daripada glenoid menyebabkan sokongan dari ligamen hilang. Koyakan tersebut menyebabkan labrum menjadi rata dan tidak dapat mengadang tulang humerus terkeluar daripada soket glenoid.
Ini menyebabkan ketidakstabilan yang serius pada sendi tersebut dan dislokasi mudah berlaku.
Justeru itu, tulang bahu yang terkehel atau teralih kedudukannya perlu dirawat segera.
“Bagi kes-kes yang lebih kompleks, pesakit perlu dibawa menjalani beberapa prosedur terlebih dahulu. Ini untuk memastikan sama ada terdapat komplikasi lain seperti keretakan tulang, kecederaan tisu lembut seperti ligamen yang terkoyak, mahupun kemungkinan urat saraf yang tertekan,” katanya.
Untuk itu, imbasan sinar-X atau teknik MRI boleh digunakan untuk mengesan kecederaan pada labrum (tulang rawan) atau mana-mana struktur yang menyambung antara sendi tulang.
Memandangkan bahagian sendi tersebut akan membengkak dan bertambah sakit, maka lebih baik rawatan tersebut dipercepatkan. Sejurus tulang tangan dimasukkan semula ke dalam soket bahu, sebahagian daripada rasa sakit itu akan hilang. Bagi kes yang berulang, klinik atau hospital boleh menawarkan beberapa jenis rawatan. Antaranya adalah pemulihan Bankart iaitu pembedahan membaik pulih kecacatan dalam kaviti glenoid. Pembedahan baik pulih itu boleh disertakan dengan prosedur atroskopik. Ia mengenal pasti, memantau, dan mendiagnosis kecederaan sendi menggunakan instrumen optik serat untuk melihat terus ke dalam bahagian yang cedera.
Selepas menjalani rawatan mengikut keperluan, pesakit disarankan berehat daripada melakukan kerja-kerja berat khususnya yang melibatkan pergerakan tangan.
Selain pembedahan yang disarankan pada pesakit yang mempunyai ketidakstabilan bahu yang tidak dapat dikawal oleh terapi fizikal dan pengubahsuaian aktiviti, pesakit juga akan menjalani rawatan bukan pembedahan.
Ia melibatkan terapi fizikal bertujuan menguatkan otot sekitar sendi bahu dan ini akan meningkatkan kestabilan sendi tersebut.
Tuesday, October 26, 2010
Sehari sepotong Ayat
Bersenam Untuk Kesihatan

Info ini diambil daripada Info Sihat KKM. Mari kita berkongsi:
1. Mulakan dengan senaman untuk memanaskan badan, seperti:
· Berlari anak atau joging selama 5 hingga 10 minit
· Berenang 2 hingga 3 pusingan mengikut cara keselesaan masing-masing
· Berbasikal untuk 5 hingga 10 minit dengan kelajuan rendah
Semua ini bergantung kepada aktiviti yang dipilih.Walaubagaimanapun lakukan aktiviti beberapa minit pertama dengan selesa.
2. Ini patut diikuti dengan regangan dengan menggunakan otot tertentu
3. Pada bahagian ketiga lakukan aktiviti rutin senaman aerobik selama 30 hingga 40Minit
4. Selepas peringkat aerobik, lakukan aktiviti pergerakkan perlahan untuk menurunkan denyutan jantung
5. Sesetengah senaman latihan kekuatan dilakukan untuk meningkatkan kekuatan otot
6. Pusingan ini ditamatkan dengan senaman regangan untuk semua kumpulan otot-otot utama
Untuk mencapai tahap senaman yang unggul, perlu diingatkan prinsip FITT (kecergasan) dan senaman yang berkala perlu dilakukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.
Apakah itu prinsip FITT (kecergasan)?
F - Frequency ialah kekerapan melakukan senaman.
I - Intensity ialah kekuatan sesuatu senaman ditentukan dengan pengiraan kadar denyutan jantung anda.
T - Time ialah peruntukan masa untuk senaman aerobik (tidak kurang 20 minit untuk lebih berkesan).
T - Type ialah jenis senaman yang penting. Beberapa jenis aerobik yang berbeza adalah digalakkan.
Monday, October 25, 2010
Sehari sepotong Ayat
" Sesiapa yang berjaya menahan lidahnya demi kehormatan kaum muslimin, maka Allah S.W.T memaafkan kesalahan-kesalahannya pada hari kiamat dan siapa-siapa yang berjaya menahan marahnya, Maka Allah S.W.T akan menghindarkan dari kemurkaanNya pada hari kiamat"
Menangani Stress

1. Senyum

Adakalanya sukar untuk kita mengelak benda-benda atau perkara yang boleh membuat kita stress. Perangai manusia, pertanyaan manusia, kerja yang melambak , bising dan macam-macam lagi. Apabila kita berada dalam situasi yang kita sendiri tidak boleh mengelaknya. Senyuman adalah perkara yang paling baik dan mujarab dalam meredakan stress. Kalau boleh, fikirkan benda yang lucu untuk kita ketawa sekejap.
2.Ambil wuduk/ Berzikir/ Sembahyang
Seperti yang kita tahu, dengan mengingati Allah, hati akan tenang. Mohonlah pada Allah. Dan lagi syaitan memang sentiasa mengambil peluang menanti kita dalam keadaan berkecamuk. Bila jadi begitu mudahlah untuk kita marah dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak baik. Selain daripada mengingati Allah, dengan mengambil wuduk juga membuatkan badan kita segar apabila terkena air sembahyang.
3. Diam dan bersendiri seketika
Adakalanya, bila marah dan tertekan, ambillah ruang untuk bersendiri. Seharusnya, duduklah sebentar di kawasan yang luas dan tenang. Bila berada di tempat yang lapang, fikiran juga bertambah lapang. Barulah boleh membuat perkara yang betul.
4.Beri ruang pada diri untuk meluahkan

Biasanya stress berpunca daripada masalah yang tak dapat di selesaikan. Luahkan masalah sama ada dengan bercerita kepada teman, atau menzahirkan dalam bentuk lukisan dan kraftangan atau coretan. Tak semestinya perlu pandai melukis. cukuplah untuk melepaskan apa yang terbuku di hati.
5.Buat sesuatu yang melekakan sebentar
Mungkin dengan menonton televisyen, mendengar lagu-lagu kesukaan, membeli-belah, menyanyi atau bermain sukan kegemaran. Pastinya kepenatan atau jalan cerita yang anda tonton mengurangkan tekanan
6.Tidur
Strees juga berpunca daripada rehat yang tidak cukup. Lelapkan lah mata sebentar. Pastikan ketika itu anda tidak meletakkan telefon di sebelah. Biarkan diri andak bebas daripada gangguan kebisingan untuk tidur yang lena
7.Elakkan daripada memendang/membuat benda yang sama
kadang-kadang stress berpunca daripada orang sekeliling atau benda yang ada di sekeliling. Jika anda stress dengan orang di sekeliling, cubalah untuk tidak memandang sebentar dan bergaullah dengan orang lain yang boleh menghiburkan anda. Atau, susun semula kedudukan meja anda agar rasa lebih selesa. Jika anda jemu untuk membuat benda yang sama, buatlah kerja lain dahulu sebelum memulakan kembali kerja yang sama.
8.Haruman
Haruman yang segar dapat membuatkan fikiran kita menjadi segar. Jadi, letakkan pewangi di bilik atau meja anda agar anda sentiasa merasa segar
9.Udara
Apabila ruangan udara sempit, jumlah oksigen yang sampai ke otak juga sempit dan anda akan berasa tidak selesa. Ini boleh mengakibatkan stress. Pastikan ruang kerja anda sentiasa bersih dan luas agar udara sentiasa ada.
10.Pelukkan dan Sentuhan
Adakalanya, apabila merasa stress, bererti anda inginkan perhatian. Sentuhan dan pelukkan dapat membuatkan jiwa anda merasa tenang. Seharusnya, ibu bapa yang peka dengan anak-anak akan mengenali situasi anak mereka yang berada dalam keadaan stress. Pelukan dan sentuhan bukan sahaja sebagai tanda kasih sayang, tetapi juga sokongan terhadap individu yang menghadapi stress.
Sunday, October 24, 2010
Sehari sepotong Ayat
Pengurusan Masa Ke Tempat Kerja

Sekiranya anda seorang yang sukar membahagikan masa, info ini sangat berguna pada diri anda. Namun begitu segalanya bermula daripada diri anda kerana anda yang boleh mengubahnya. Catatkan perkara berikut:-
- Pukul berapa biasanya anda bangun tidur @ berapa lama masa yang anda ambil untuk bagun tidur?
- Berapa lama anda bersiap untuk ke tempat kerja?(mandi, bersarapan,solat, menggosok baju)
- Pukul berapa anda pergi ke tempat kerja?
- Di manakah anda letakkan barangan yang anda akan gunakan esok?
Daripada jadual di atas, anda boleh menentukan berapa banyak masa lapang yang anda ada dan menyusun jadual masa supaya semua aktiviti dapat disempurnakan dengan masa yang tepat.
Buat senarai mengenai perkara yang ingin anda lakukan.
Apabila anda hanya duduk menonton TV beberapa jam atau tidak melakukan apa-apa dan menjadi bosan, gunakan senarai yang ada untuk mengubah masa lapang anda dengan melakukan aktiviti yang lebih produktif.
Tetapkan matlamat tentang apa yang ingin anda capai.
Matlamat anda sasarkan mestilah khusus. Sebagai contoh: "Saya ingin bangun tepat pukul 5.00 pagi", dan jangan mensasarkan matlamat seperti " Saya ingin bangun pagi" sahaja.
Bahagi-bahagikan aktiviti anda mengikut kategori.
Pastikan anda tahu berapa masa yang tinggal jika anda mensasarkan untuk bangun pada pukul 5.00 pagi dan bertolak ke tempat kerja pada pukul 7.30 pagi. Bahagikan masa yang tinggal mengikut kepentingan seperti mandi dahulu, bersembahyang, menggosok baju dan bersarapan. adalah lebih baik jika kerja yang boleh dilakukan pada waktu malam dilakukan dahulu seperti menggosok baju. Jadi anda tidak akan kalangkabut!
Tetapkan had masa.
Berapa minit masa untuk mandi atau menggosok baju, tetapkan had masa.
Pastikan anda menyiapkan kerja tersebut dalam had masa yang ditetapkan.
Gunakan diari.
Diari atau jadual waktu dapat membantu anda melakukan tugasan dan mencapai matlamat yang ditetapkan.Ia juga turut membantu anda untuk merancang aktiviti harian berdasarkan apa yang mesti dibereskan. Secara langsung, ia membantu anda untuk menggunakan masa yang terluang untuk menyiapkan tugasan atau aktiviti yang ingin dilakukan.
Kekalkan rutin harian anda sebaik mungkin.
Mengetahui apa yang perlu dibuat dan bila ia perlu diselesaikan membolehkan anda mencapai apa yang telah disasarkan dengan lebih baik.
Simpan peralatan ke tempat kerja di satu tempat.
Anda hanya akan membazir masa jika perlu mengemas barang-barang hanya untuk mencari sesuatu. Seperti mencari stokin sebelum ke tempat kerja.
Jangan melengah-lengahkan kerja.
Berlengah itu pencuri masa. Anda hanya membazir masa jika melengah-lengahkan kerja.
Hasil
Anda menjadi:
- Lebih terurus
- Produktif
- Kurang tertekan
- Gembira
- Mempunyai banyak masa untuk melakukan aktiviti yang lebih bermakna
Sehari sepotong Ayat
Jadual Esok...
Saturday, October 23, 2010
Sehari sepotong Ayat
" Tiga orang yang menjadi musuhKu pada hari kiamat. Seorang yang berjanji denganmempergunakan namaKu kemudian mungkir. Seorang yang menjual orang merdeka untuk dijadikan hamba. Dan seorang yang mengupah buruh ( pekerja) dan setelah diselesaikan pekerjaannya tidak dibayar upah"
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Thursday, October 21, 2010
Sehari sepotong Ayat
Salah Siapa?
A Day Quote
Sehari sepotong Ayat
Mulakan Hari ini....
Wednesday, October 20, 2010
Sehari sepotong Ayat
KISAH-KISAH NABI
Tuesday, October 19, 2010
Mari Menari
Saturday, October 16, 2010
Jangan Terlalu Berkira...
Friday, October 15, 2010
TIP-TIP PENJAGAAN KOMPUTER RIBA


























